SIARAN AKHBAR TAKLIMAT CUACA KEBANGSAAN KALI KE-21 TEMPOH PERALIHAN MONSUN

03 Oct 2023

Selasa, 3hb Oktober 2023 - Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), telah mengadakan Taklimat Cuaca Kebangsaan Kali Ke-21 bertempat di Dewan Auditorium Jabatan Penerangan dan telah dihadiri oleh seramai 143 wakil daripada agensi-agensi kerajaan, swasta dan juga orang ramai. Taklimat Cuaca Kebangsaan kali ini telah disampaikan oleh Dayang Harnina binti Morani, Pegawai Kajicuaca dari BDMD yang menyampaikan mengenai tempoh Peralihan Monsun dan juga memberigakan mengenai keadaan El Niño yang pada masa ini sedang berlaku.

Taklimat Cuaca Kebangsaan adalah merupakan salah satu inisiatif BDMD dalam usaha meningkatkan penglibatan kumpulan-kumpulan pengguna seperti Kumpulan Tindakan Awal dan Keselamatan, Kumpulan Ekonomi dan Industri, syarikat-syarikat pembinaan, syarikat-syarikat insuran, Perusahaan Kecil dan Sederhana serta pihak Media Massa.

Matlamat utama Taklimat Cuaca Kebangsaan diadakan ialah untuk meningkatkan kefahaman dan kepekaan pelbagai kumpulan pengguna dan orang ramai mengenai dengan keadaan cuaca semasa bagi Negara Brunei Darussalam. Taklimat ini juga akan dapat memudahcara kesiap-siagaan kumpulan pengguna dan orang ramai dalam membuat perancangan dan sebarang tindakan awal dalam menghadapi sebarang keadaan cuaca.

Taklimat Cuaca Kebangsaan Kali Ke-21 ini telah memfokuskan kepada keadaan cuaca, iklim dan ramalan jangka panjang bagi tempoh Peralihan Monsun yang bermula pada awal bulan Oktober dan berterusan hingga hujung bulan November 2023.

Bagi tempoh bulan Oktober dan November ini, kesan angin tempatan akan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara kita, dimana keadaan cuaca cenderung cerah pada waktu pagi dan hujan berasingan berlaku di kawasan pesisiran sekitar waktu tengahari. Manakala ribut petir berpotensi berlaku di kawasan pedalaman negara pada sebelah petang dan merebak serta menjejaskan kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam, dan kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan harinya.

Selain itu, taklimat ini juga mengongsikan mengenai keadaan El Niño yang diramalkan meningkat tahap intensitinya semasa bulan Disember hingga Februari tahun depan. Fenomena El Niño ini boleh memberi kesan terhadap corak turunan hujan dan suhu global, dan negara kita adalah tidak terkecuali dari kesan berkenaan. Keadaan cuaca yang lebih panas dan kering berpotensi berlaku semasa kemuncak fenomena El Niño (Disember hingga Februari).