KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 22 SEPTEMBER 2023

22 Sep 2023

1.Keadaan Cuaca Secara Am
Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di penghujung Monsun Barat Daya, di mana angin Barat Daya masih dominan. Walau bagaimanapun, keadaan cuaca masih diramalkan aktif untuk beberapa hari akan datang disebabkan oleh kehadiran sistem tekanan rendah yang berdekatan dengan Negara kita. Ia menyebabkan keadaan atmosfera lembap dan seterusnya meningkatkan pembentukan awan-awan hujan.
Stesen Pencerapan Cuaca, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan turunan hujan sejumlah 60.0 mm pada hari Khamis, 21 September 2023. Manakala sejak 1 September hingga kelmarin, jumlah hujan yang telah direkodkan adalah 537.6 mm. Jumlah tersebut telah mencapai jumlah turunan hujan melebihi di atas normal, yang mana jumlah normal bagi bulan September (1991-2020) adalah 235.1 mm.

2.Ramalan Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam
Keadaan cuaca aktif masih berpotensi berlaku pada hari ini (22 September 2023) sehingga hari Isnin (25 September 2023), dengan hujan lebat berpetir sekali-sekala dijangka menjejaskan kebanyakkan kawasan Negara. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa atau dekat hujan lebat berpetir.
Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, di bawah 1.0 meter.

3.Nasihat Kami
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Kejadian pokok tumbang dan tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).

Wallahu a’lam Bissawab.