POTENSI CUACA PANAS DAN KERING BAGI BEBERAPA BULAN AKAN DATANG 12 MEI 2023

12 May 2023

Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO) telah mengumumkan bahawa kemungkinan El-Nino berkembang pada separuh kedua tahun ini adalah semakin meningkat. Kebanyakan pusat iklim antarabangsa bersetuju bahawa terdapat kira-kira 60% kemungkinan El-Nino berkembang pada bulan Mei hingga Julai 2023, dan akan meningkat kepada kira-kira 70-80% pada bulan Jun hingga bulan September 2023.

El-Nino ialah fenomena yang berlaku apabila suhu permukaan laut di kawasan tropika Lautan Pasifik menjadi lebih panas daripada biasanya. Ia juga dikenali sebagai 'fasa panas' kitaran El-Nino Southern Oscillation (ENSO). Fenomena ini berlaku setiap 3-7 tahun secara purata, dan cenderung memuncak semasa musim sejuk Hemisfera Utara (Disember hingga Februari).

Semasa episod El-Nino, gangguan sementara terhadap corak cuaca tempatan dijangka berlaku di seluruh dunia, termasuk di Negara Brunei Darussalam. Kesan El-Nino kepada negara kita termasuklah aktiviti hujan yang berkurangan dengan peningkatan suhu udara dan kelembapan relatif yang rendah. Keadaan cuaca kering dan panas dijangka berlaku dalam beberapa bulan yang akan datang dengan berkemungkinan peningkatan suhu maksima harian mencecah 34.0°C atau lebih pada waktu petang.

Cuaca Panas Melampau (EHW) atau biasa dikenali sebagai kejadian gelombang haba di Negara Brunei Darussalam cenderung berlaku semasa episod El-Nino. EHW berlaku apabila suhu maksima harian merekodkan sekurang-kurangnya 35.0°C selama tiga hari berturut-turut. Kejadian EHW terakhir yang berlaku di Negara Brunei Darussalam ialah semasa episod El-Nino pada 28-30 September 2019.

Mengambilkira kemungkinan berlakunya El-Nino, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam ingin menasihatkan orang ramai supaya mengambil sebarang langkah berjaga-jaga dan keselamatan serta mematuhi mana-mana garis panduan daripada Kementerian Kesihatan berhubung dengan keadaan cuaca panas.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram kami (Brunei Weather).

Wallahu a’lam Bissawab.