KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 09 JANUARI 2020

09 Jan 2020

Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada di separuh pertama Musim Monsun Timur Laut yang di mana angin secara amnya bertiup dari arah timur laut dan Negara lazimnya akan menerima
turunan hujan yang tinggi. Keadaan cuaca hujan dijangka akan berlaku dikebanyakkan hari sehingga ke penghujung bulan Januari 2020. Pada masa ini, tiada sistem ribut tropika dikesan di rantau kita.

Keadaan Cuaca Brunei
Keadaan cuaca tidak menentu diramalkan berlaku pada hujung minggu ini dengan hujan lebat sekali sekala atau hujan berpetir menjejaskan kebanyakan kawasan Negara, walau bagaimanapun cuaca baik sekali-sekala juga dijangka berlaku pada siang hari. Keadaan laut di tahap sederhana dengan ketinggian mencapai 1.8 meter.

Nasihat Kami
Semasa keadaan hujan berterusan dan lebat, adalah penting bagi orang ramai mengambil perhatian akan risiko kejadian banjir atau banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir. Risiko
kejadian tanah susur juga akan meningkat terutama apabila berlakunya hujan lebat berpanjangan melebihi dua jam. Risiko kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat
bertembung dengan kejadian air pasang. Jika keadaan laut bergelora dan angin kencang adalah berbahaya terutamanya kepada bot-bot kecil dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut.

Oleh yang demikian, orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca
Brunei Darussalam, dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat cuaca yang tidak berasas melalui media-media sosial yang boleh mengakibatkan panik dan kekhuatiran kepada
orang ramai. Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai
supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.

Wallahu a’lam Bissawab.