SIARAN AKHBAR TAKLIMAT CUACA KEBANGSAAN KALI PERTAMA 2018

03 May 2018

Selasa, 1 Mei 2018 - Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Perhubungan,
telah mengadakan Taklimat Cuaca Kebangsaan buat kali pertama setelah ianya dilancarkan semasa
sambutan Hari Kajicuaca Sedunia 2018. Seramai 101 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan
swasta telah hadir mengikuti taklimat tersebut yang diadakan di Auditorium Utama, Bangunan
Design dan Teknologi, Anggerek Desa.

Taklimat Cuaca Kebangsaan adalah merupakan salah satu inisiatif Jabatan Kajicuaca dan
Kementerian Perhubungan dalam usaha meningkatkan penglibatan kumpulan-kumpulan
pengguna seperti kumpulan pengguna Tindakan Awal dan Keselamatan (Safety and First
Responders), kumpulan pengguna Ekonomi dan Industri serta pihak Media Massa. Taklimat ini
bertujuan untuk memberikan peluang kepada pengguna maklumat pada masa ini dan juga masa
hadapan untuk berinteraksi dengan Jabatan Kajicuaca untuk mengajukan keperluan maklumat dan
khidmat masing-masing.

Matlamat utama taklimat ini adalah semata-mata untuk meningkatkan kefahaman dan kepekaan
pelbagai kumpulan pengguna mengenai keadaan cuaca negara semasa dan juga bagi
memudahcara kesiap-siagaan masing-masing menghadapi cuaca dan juga untuk meningkatkan
kepekaan mengenai iklim Negara Brunei Darussalam. Perkara ini telah dihuraikan di dalam taklimat
pengenalan yang disampaikan oleh Awang Mohd NoorÂ’Arifin bin Haji Awang Yussof, Pegawai
Kajicuaca. Manakala tumpuan taklimat cuaca kebangsaan adalah berkenaan cuaca, iklim dan
ramalan jangka panjang bagi bulan Mei, Jun dan Julai bagi Negara Brunei Darussalam telah
disampaikan oleh Dayang Nurulinani binti Hj Jahari, ahli meteorologi dari Jabatan Kajicuaca. Antara
aktiviti lain adalah promosi dan penjualan buku coffee table Jabatan bertajuk Nubivagant With
Wondrous Scenes of The Abode of Peace dan juga promosi aplikasi mudah alih Brunei WX.

Disediakan oleh:
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam
Kementerian Perhubungan
Negara Brunei Darussalam.