KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 06 FEBRUARI 2018

07 Feb 2018

Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam fasa kedua musim Timur Laut, dan secara relatif, bulan
Februari dikategorikan sebagai bulan kedua terkering dari segi jumlah turunan hujan berbanding dengan bulanbulan
lain.

Walaubagaimanapun sejak awal Februari sehingga hari ini (6hb Februari) Negara kita telah mengalami aktiviti
turunan hujan setiap hari. Jumlah hujan yang direkodkan setakat 5hb Februari di Stesen Pencerapan Cuaca
Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei adalah 82.8 mm, iaitu lebih separuh daripada jumlah purata jangka panjang
(1981-2010) bagi bulan Februari (iaitu 157.1 mm).

Pada masa ini Negara kita mengalami cuaca yang tidak menentu dengan keadaan mendung dan hujan lebat sekalisekala.
Keadaan ini disebabkan oleh gabungan dari luruan angin Timur Laut dari Utara Benua Asia dan penumpuan
kelembapan di rantau kita, menyebabkan penghasilan aktif sel-sel awan hujan konvektif. Model turunan hujan
berangka yang terkini menunjukkan aktiviti hujan masih dijangka berlaku dalam tempoh dua minggu akan datang
dan berpotensi menjadi aktif lagi antara 12 hingga 17 Februari ini.

Seperti kejadian-kejadian yang lepas, hujan lebat yang berlaku dalam tempoh lebih dua jam boleh mengakibatkan
kejadian banjir atau banjir kilat di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir, atau kejadian tanah susur. Keadaan
juga boleh menjadi lebih teruk jika bertembung dengan kejadian air pasang. Luruan angin Timur Laut yang kuat juga
menyebabkan keadaan laut bergelora di Perairan Brunei.

Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah-langkah atau perancangan yang
bersesuaian dalam menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa ini. Pihak kami juga menyarankan
orang ramai supaya sentiasa peka dengan amaran dan nasihat cuaca yang dikeluarkan demi meningkatkan
keselamatan dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Seterusnya, para pengguna jalanraya dinasihati
supaya berhati-hati semasa hujan lebat dan keadaan jalanraya licin. Manakala, para pelaut dinasihatkan supaya
lebih berwaspada atau mengelakkan sebarang operasi dan aktiviti laut.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran
cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikutkan maklumat keadaan cuaca
terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial Facebook (bruneiweather),
Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang ramai juga dapat menghubungi Pegawai Peramal
Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.

Wallahualam Bissawab.
Dikeluarkan oleh:
Divisyen Khidmat-Khidmat Cuaca
Jabatan Kajicauca Brunei Darussalam
Kementerian Perhubungan
20 Jamadilawal 1439 / 6 Februari 2018
Ref: WSD/PR/02/2018