KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 26 NOVEMBER 2022

26 Nov 2022

Keadaan Monsun di Negara Brunei Darusssalam


Negara Brunei Darussalam sekarang berada di penghujung Monsun Peralihan, di mana kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara kita.

Semasa tempoh Peralihan Monsun ini, cuaca pada lazimnya cerah pada waktu pagi. Hujan dan ribut petir berlaku terutama di pedalaman negara pada sebelah petang, dan bergerak ke kawasan pesisiran dan laut pada waktu malam, dan kadang-kala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan hari.

Keadaan Cuaca di Negara Brunei Darussalam


Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bermula hari ini, Sabtu (26 November 2022) hingga Isnin (28 November 2022). Keadaan ini adalah disebabkan oleh pengaruh beberapa kawasan tekanan rendah di kawasan rantau kita yang menggalakkan pembentukan awan hujan dan seterusnya meningkatkan aktiviti turunan hujan di negara kita.

Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 40 kmsj semasa atau dekat hujan lebat atau ribut petir.

Manakala di perairan Brunei, keadaan laut berombak sedikit, di bawah paras 1.0 m.

Nasihat Kami:


Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Kejadian pokok tumbang dan tanah susur boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan semasa kejadian air pasang.

Orang ramai, termasuk para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang
(www.met.gov.bn) atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@brunei.weather).

Wallahu a’lam Bissawab.