KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 18 OKTOBER 2022

18 Oct 2022

1. Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam sekarang berada di fasa peralihan monsun, dimana kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara kita.
Pada pukul 5 petang waktu tempatan hari ini (18 Oktober 2022), Taufan NESAT telah dikesan di koordinat 18.0°N 112.7°E, di kawasan Laut China Selatan iaitu sekitar 1500 km dari Negara Brunei Darussalam (Rajah 1). Taufan NESAT diramalkan bergerak ke arah Barat menjauhi negara kita.

2. Keadaan Cuaca Negara Brunei Darussalam:
Taufan NESAT secara tidak langsung mempengaruhi cuaca di negara kita dan akan menyebabkan keadaan cuaca Negara menjadi aktif bagi beberapa hari akan datang sehingga hujung minggu ini, 23hb Oktober. Hujan atau hujan berpetir sekali-sekala masih dijangka berlaku dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa atau dekat hujan lebat.
Manakala di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak sedikit ke sederhana di paras 0.8 m ke 1.8 m.

3. Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.
Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram baru kami (@brunei.weather).

Wallahu aÂ’lam Bissawab.