KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 10 JULAI 2022

10 Jul 2022

Keadaan Monsun di Negara Brunei Darussalam

Negara Brunei Darussalam sekarang masih berada dalam Monsun Barat Daya, dimana luruan angin Barat Daya dijangkakan menjadi lebih dominan dan keadaan atmosfera pada kebiasaannya adalah agak stabil.
Walau bagaimanapun, keadaaan cuaca adalah aktif untuk beberapa hari kebelakangan ini disebabkan oleh pengaruh tekanan rendah di Laut China Selatan yang menyebabkan keadaan atmosfera lembap dan seterusnya menyebabkan pembentukan awan-awan hujan yang aktif.

Keadaan Cuaca di Negara Brunei Darussalam

Keadaan cuaca aktif diramalkan berterusan sehingga hujung minggu yang akan datang (16 Julai 2022) dengan hujan berangin ribut berlaku sekali-sekala, terutamanya pada waktu petang ke malam dan mungkin berlanjutan hingga ke awal pagi. Hujan dijangka sekali-sekala lebat, berangin kencang dan berpetir dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 60 kmsj di kawasan darat manakala di kawasan perairan Brunei boleh mencapai sehingga 80 kmsj.

Keadaan laut pada amnya berombak di paras sederhana, di bawah 2.0 m.

Nasihat Kami:

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Kejadian pokok tumbang masih berpotensi berlaku semasa keadaan berangin ribut. Terdapat juga risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih dari 1 jam dan semasa kejadian air pasang.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather) dan Instagram (@bruneiweather).

Wallahu a’lam Bissawab.