KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 12 OKTOBER 2021

12 Oct 2021

1. Keadaan Secara Am:

Negara Brunei Darussalam sekarang berada di dalam tempoh peralihan monsun.

Pada pukul 11 pagi waktu tempatan hari ini (12 Oktober 2021), dua ribut tropika telah dikesan iaitu Ribut Tropika Kompasu yang berada di koordinat 18.8°N 118.5°E, di kawasan utara Filipina, sekitar 1637 km jauh dari Negara Brunei Darussalam (Rajah 1) dan Ribut Tropika Namtheun yang berada di koordinat 19.7°N 152.7°E, di Lautan Pasifik Barat, sekitar 4440 km jauh dari Negara Brunei Darussalam (Rajah 2).

Ribut Tropika Kompasu dijangka bergerak ke arah Barat dan Ribut Tropika Namtheun dijangka bergerak ke arah Barat Laut dan kedua-dua ribut tropika ini dijangka bergerak menjauhi negara kita.

2. Keadaan Cuaca Brunei:

Cuaca negara kita tidak akan dijejaskan oleh kedua-dua ribut tropika berkenaan secara langsung. Walaubagaimanapun Ribut Tropika Kompasu secara tidak langsung akan menyebabkan keadaan cuaca sedikit berangin dengan hujan sekali-sekala melintasi beberapa kawasan darat dan perairan negara dengan kelajuan angin meningkat sehingga 45 kmsj untuk beberapa hari akan datang.

Keadaan laut pada amnya dijangka berada di paras sedikit hingga sederhana dengan ketinggian ombak meningkat sehingga 1.6 m.

3. Nasihat Kami:

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan risiko bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin.

Orang ramai dan terutamanya para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan mengambil langkahlangkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook @bruneiweather dan Instagram @bruneiweather.

Wallahu a’lam Bissawab.