KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 07 SEPTEMBER 2021

07 Sep 2021

1. Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam masih berada di dalam tempoh Monsun Barat Daya dan dijangka akan memasuki musim Peralihan Monsun sekitar hujung bulan September atau awal bulan Oktober 2021.

Pada pukul 11 pagi waktu tempatan hari ini (07 September 2021), dua ribut tropika telah dikesan iaitu Ribut Tropika Conson yang berada di kepulauan Filipina berdekatan koordinat 11.9°N 124.3°E sekitar 1336 km dari negara kita dan Ribut Tropika Chanthu yang berada di Lautan Pasifik Barat berdekatan koordinat 15.6°N 136.6°E sekitar 2689 km dari negara kita seperti dalam Rajah 1 dan Rajah 2 .

Ribut Tropika Conson dan Ribut Tropika Chanthu dijangka bergerak ke arah Barat Laut menjauhi Negara Brunei Darussalam.

2. Keadaan Cuaca Brunei:
Cuaca negara kita tidak akan dijejaskan secara langsung oleh kedua-dua ribut tropika berkenaan selain daripada peningkatan kelajuan angin Barat Daya terutama di kawasan perairan dan pesisiran negara pada 8 dan 9 September 2021 disebabkan oleh pengaruh secara tidak langsung daripada Ribut Tropika Conson.

Hujan, kadangkala berpetir serta berangin kencang, dijangka berlaku terutama di kawasan perairan negara dalam tempoh 2 hari yang akan datang dan kemudian pada amnya menjadi cerah dan sekali-sekala berangin.

Ketinggian ombak pada amnya berada di paras rendah di bawah 1.0 m. Namun, ketinggian ombak dijangka meningkat sehingga 1.8 m pada 9 dan 10 September 2021, disebabkan oleh peningkatan kelajuan angin Barat Daya.

3. Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook @bruneiweather dan Instagram Instagram @bruneiweather.

Wallahu a’lam Bissawab.