KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 20 DISEMBER 2020

20 Dec 2020

Keadaan Secara Am:
Pada masa ini, Brunei Darussalam berada di dalam fasa pertama musim Monsun Timur Laut. Pada lazimnya, keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan lebat atau hujan berpetir sekali-sekala berlaku terutama pada waktu malam dan awal pagi. Luruan angin Timur Laut yang kuat juga boleh menyebabkan peningkatan ketinggian ombak di perairan Brunei ke paras bergelora.

Pada pukul 12.05 petang waktu tempatan hari ini, sistem Lekukan Tropika berada di 10.7°N 114.9°E, di kawasan Timur Laut China Selatan, iaitu sekitar 626 km jauh dari Negara Brunei Darussalam. Lekukan Tropika diramal akan bergerak ke arah Barat, menjauhi Negara kita.

Keadaan Cuaca Brunei Darussalam:
Keadaan cuaca di Negara Brunei Darussalam untuk beberapa hari akan datang dijangka akan dipengaruhi secara tidak langsung oleh sistem Lekukan Tropika yang melintasi Laut China Selatan. Hujan berserta angin kencang dijangka berlaku sekali-sekala terutamanya di kawasan laut dan mungkin merebak ke kawasan pesisiran pantai. Kelajuan angin boleh mencapai sehingga 50 kmsj.

Keadaan Laut Brunei Darussalam:
Keadaan angin kencang yang dijangka berlaku di kawasan laut Negara dijangka boleh meningkatkan ketinggian ombak dari paras sederhana hingga ke bergelora mencapai sehingga ketinggian 3.0 meter untuk berberapa hari sehingga hari Rabu, 23 Disember 2020.

Nasihat Kami:
Keadaan laut bergelora adalah berbahaya kepada semua bot bersaiz kecil, dan semua aktiviti rekreasi dan sukan laut (seperti berenang, jetski, scuba diving dan lain-lain). Para pelaut dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa peka dan mengambil kira ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini dalam membuat perancangan ke laut ataupun mengambil langkah-langkah awal yang bersesuaian untuk memastikan keselamatan.

Orang ramai dan juga para pemandu di jalan raya adalah juga dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan kejadian hujan lebat ataupun risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau perkembangan keadaan cuaca dari masa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika dan bila perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial media, Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX.

Wallahu a’lam Bissawab