KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM MONSUN TIMUR LAUT 07 DECMBER 2020

07 Dec 2020

Negara Brunei Darussalam telah memasuki Monsun Timur Laut pada awal bulan Disember 2020 dan dijangka akan berterusan sehingga hujung bulan Mac 2021. Pada dua bulan pertama Monsun Timur Laut (bulan Disember dan Januari), yang juga dikenali sebagai Musim Tengkujuh, lazimnya mempunyai jumlah turunan hujan yang tertinggi berbanding dengan bulan-bulan lain; di mana purata bulanan jumlah turunan hujan bagi bulan Disember ialah 345 mm, manakala bagi bulan Januari ialah 308 mm (purata bulanan ialah bagi tempoh 30 tahun, 1981 sehingga 2010). Semasa tempoh ini, keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan lebat atau hujan berpetir sekali-sekala berlaku terutama pada waktu malam dan awal pagi.

Manakala semasa tempoh separuh kedua Monsun Timur Laut (bulan Februari dan Mac), keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan turunan hujan; dengan purata bulanan jumlah turunan hujan bagi bulan Februari ialah 157 mm dan 130 mm bagi bulan Mac (purata bulanan ialah bagi tempoh 30 tahun, 1989 sehingga 2010).

Semasa Musim Tengkujuh adalah penting untuk orang ramai mengambil perhatian bahawa risiko kejadian banjir atau banjir kilat di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir, dan risiko kejadian tanah susur akan meningkat terutama apabila berlakunya hujan lebat melebihi tempoh dua jam. Risiko kejadian banjir yang lebih teruk boleh berlaku apabila hujan berintensiti lebat bertembung dengan kejadian air pasang. Luruan angin Timur Laut yang kuat juga boleh menyebabkan peningkatan ketinggian ombak di perairan Brunei ke paras bergelora sehingga 3.0 meter.

Oleh yang demikian, orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua, dan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau perkembangan keadaan cuaca dari masa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika dan bila perlu. Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial media, Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX.

Wallahu a’lam Bissawab