PENJELASAN BERIKUTAN MAKLUMAT TULAR MENGENAI TAUFAN ‘MANGKUT’ DAN KEMASKINI MAKLUMAT KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

16 Sep 2020

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam ingin menjelaskan mengenai maklumat Taufan ‘Mangkut’ yang tular di media sosial pada masa ini. Sehubungan itu, dimaklumkan bahawa pada masa ini tidak ada sistem taufan yang dikesan di kawasan rantau kita. Taufan ‘Mangkut’ yang tular di media sosial pada masa ini adalah kejadian taufan yang telah berlaku pada bulan September 2018.

Walau bagaimanapun, sistem yang ada pada masa ini hanyalah sistem Ribut Tropika (Tropical Storm) yang dinamakan ‘Noul’ yang mana tahap kekuatan sistem ini adalah jauh lebih rendah dibandingkan dengan sistem taufan. Pada pukul 2.00 pagi waktu tempatan (16 September 2020), Ribut Tropika ‘Noul’ berada di lokasi 13.0°N 118.5°E iaitu kira-kira 933 km dari Negara Brunei Darussalam. Sistem berkenaan dijangka bergerak ke kawasan Utara Laut China Selatan menjauhi Negara kita.

Ribut Tropika ‘Noul’ dijangka akan mempengaruhi keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam secara tidak langsung, menyebabkan keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan sekali-sekala lebat berserta angin
kencang terutamanya di kawasan laut. Kelajuan angin dijangka meningkat sehingga 50 kmsj dengan ketinggian ombak boleh meningkat ke paras bergelora sehingga 2.5m semasa atau dekat hujan berangin.

Oleh yang demikian, orang ramai, khususnya para pemandu di jalan raya dan para pelaut adalah dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga, demi menjamin keselamatan semua, terutama semasa keadaan cuaca yang dijangka aktif pada masa ini yang menjejaskan Negara.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau perkembangan Ribut Tropika tersebut dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika dan bila perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan menghubungi Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman sosial Facebook (bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX.

Di samping itu, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam ingin menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya dengan maklumat yang disebarkan melalui mana-mana aplikasi media sosial tanpa memastikan kesahihan maklumat yang disebarkan terlebih dahulu. Di samping itu juga, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam memohon mana-mana individu yang menerima mesej tular tersebut supaya menghentikan penyebarannya kerana ianya boleh mengakibatkan keresahan orang awam.

Wallahualam Bissawab.