KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 03 SEPTEMBER 2020

03 Sep 2020

1. Keadaan Secara Am:
Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada dalam Monsun Barat Daya, di mana aliran angin pada amnya akan bertiup dari arah Barat Daya. Musim Barat Daya juga menandakan musim kejadian sistem siklon yang aktif, seperti ribut tropika dan taufan, di kawasan rantau Barat Lautan Pasifik dan Laut China Selatan. Apabila berlakunya ribut tropika dan taufan, negara sering mengalami keadaan cuaca aktif dengan hujan ribut petir berserta angin kencang berlaku sekalisekala, tertakluk kepada jarak, pergerakan dan lokasi sistem tersebut dari kawasan Negara.

Pada pukul 8.00 pagi waktu tempatan hari ini, Taufan ‘Haishen’ berada di kawasan Barat Lautan Pasifik (20.2⁰N, 138.5⁰E) iaitu sekitar 3000 km jauh dari Negara Brunei Darussalam. Taufan ‘Haishen’ diramal akan bergerak ke arah Barat Laut, menjauhi Negara kita.

2. Keadaan Cuaca Brunei:
Taufan ‘Haishen’ tidak akan mempengaruhi keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam. Cuaca di Negara kita untuk beberapa hari akan datang akan dipengaruhi oleh olakkan angin tempatan, yang mana pada lazimnya hujan berlaku di kawasan pesisiran pantai sekitar tengahari dan hujan berpetir di kawasan pedalaman pada sebelah petang yang mana dijangka akan bergerak menuju ke kawasan pesisiran dan perairan Negara pada waktu malam, dan mungkin berlanjutan sehingga awal pagi.

Manakala, pada hujung minggu ini dijangka aktiviti hujan meningkat dan kadang-kala berpetir dan berangin. Ketinggian ombak adalah di paras sedikit di bawah 1.0 m sepanjang minggu ini.

3. Nasihat Kami:
Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin. Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut, adalah juga dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan
Kajicuaca Brunei Darussalam dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika dan bila perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX.

Wallahu a’lam Bissawab.