KEMASKINI KEADAAN CUACA BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM 12 MEI 2020

12 May 2020

Negara Brunei Darussalam pada masa ini sedang berada di musim peralihan monsun yang mana pada lazimnya Negara kita mengalami keadaan cuaca panas pada waktu siang, dan tiupan angin dari pelbagai hala dengan kelajuan yang lemah pada waktu pagi, manakala pembentukan awan ribut petir berlaku di waktu petang. Ribut petir kebanyakkannya berlaku di kawasan pedalaman pada waktu petang dan merebak ke kawasan pesisiran dan perairan Negara pada waktu sebelah malam hingga awal pagi.
Musim peralihan monsun ini dijangka akan berterusan sehingga hujung bulan Mei atau awal bulan Jun.

Keadaan Secara Am
Pada jam 11.00 pagi waktu tempatan hari ini, Lekukan Tropika berada di koordinat 10.3°N 128.7°E, di kawasan Tenggara Filipina, sekitar 1700 km jauh dari Negara Brunei Darussalam.
Lekukan Tropika tersebut dijangka bergerak ke Utara menjauhi Negara kita. Lekukan Tropika tersebut dijangka tidak akan menjejaskan keadaan cuaca di Negara kita.

Keadaan Cuaca Brunei
Keadaan cuaca tidak menentu diramalkan berlaku pada minggu ini dengan hujan lebat sekali-sekala atau hujan berpetir menjejaskan kebanyakan kawasan Negara. Walau bagaimanapun, cuaca baik sekali-sekala juga dijangka berlaku pada siang hari. Keadaan cuaca lebih aktif juga diramal akan berlaku di waktu petang dan malam pada 12, 14 dan 16 haribulan Mei ini. Sementara itu, keadaan laut di perairan Brunei dijangka akan berada di bawah paras 0.8 meter sepanjang minggu ini.

Nasihat Kami
Semasa keadaan hujan lebat atau hujan berpetir, adalah penting bagi orang ramai mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir.

Oleh yang demikian, orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Kami ingin menasihati orang ramai supaya akan dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), dan aplikasi bimbit Brunei WX. Orang awam juga dapat menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.

Wallahu a’lam Bissawab.