TAKLIMAT CUACA KEBANGSAAN KALI KE LIMA 2019

03 Apr 2019

Isnin, 1st April 2019 - Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, telah mengadakan Taklimat Cuaca Kebangsaan buat kali ke lima berikutan taklimat mengenai Monsun Timur Laut yang diberikan pada bulan Disember 2018 yang lalu. Seramai 130 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta orang awam turut hadir mengikuti taklimat tersebut yang diadakan di Garden's Veranda Hall, Rimba Garden Central.

Taklimat Cuaca Kebangsaan adalah merupakan salah satu inisiatif Jabatan Kajicuaca, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam usaha meningkatkan penglibatan kumpulan-kumpulan pengguna seperti kumpulan Tindakan Awal dan Keselamatan (Safety and First Responders), kumpulan Ekonomi dan Industri, Pembinaan, Syarikat Insurans, Perusahaan Kecil Sederhana serta pihak Media Massa.

Matlamat utama taklimat ini adalah semata-mata untuk meningkatkan kefahaman dan kepekaan pelbagai kumpulan pengguna mengenai keadaan cuaca semasa bagi Negara. Selain itu, taklimat ini juga bertujuan bagi memudahcara kesiap-siagaan masing-masing menghadapi cuaca dan seterusnya untuk meningkatkan kepekaan mengenai iklim Negara Brunei Darussalam. Taklimat Cuaca Kebangsaan kali ini bertumpukan kepada cuaca, iklim dan ramalan jangka panjang sepanjang tempoh Monsun Peralihan dari bulan April hingga ke Mei 2019 bagi Negara Brunei Darussalam dan telah disampaikan oleh Dayang Nurulinani binti Jahari, Pegawai Kajicuaca, Ahli Meteorologi dari Jabatan Kajicuaca.

Aktiviti lain termasuk pameran yang berkaitan dengan tema Hari Kajicuaca Sedunia 2019 iaiti Matahari, Bumi dan Cuaca dari jabatan serta agensi-agensi kerajaan dan swasta .Antara aktiviti lain adalah promosi dan penjualan buku coffee table Jabatan bertajuk Nubivagant With Wondrous Scenes of The Abode of Peace, promosi aplikasi mudah alih Brunei WX, media sosial dan kod amaran cuaca berwarna.