BDMD MENYAMBUT HARI KAJICUACA SEDUNIA 2019

03 Apr 2019

Isnin, 1 April 2019 - Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, sebagai Ahli Pertubuhan Kajicuaca Sedunia dan sebagai badan autoriti kajicuaca kebangsaan, menyambut Hari Kajicuaca Sedunia pada hari ini.

Hari Kajicuaca Sedunia berlangsung setiap tahun pada 23 Mac bagi memperingati berkuatkuasanya konvensi Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO) pada 23 Mac 1950. Hari ini juga disambut bagi menghargai sumbangan penting yang diberikan oleh Perkhidmatan Kajicuaca dan Hidrologi Kebangsaan bagi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di seluruh dunia.

Setiap tahun, sambutan Hari Kajicuaca Sedunia memfokuskan kepada satu tema semasa yang menarik dipilih khusus oleh pihak WMO. "Matahari, Bumi dan Cuaca" ("The Sun, the Earth and the Weather"), adalah tema Hari Kajicuaca Sedunia tahun ini. Ini bertujuan untuk menekankan akan kepentingan peranan Matahari yang merupakan pusat sistem suria kita dan dan juga selaku daya penggerak cuaca, iklim, arus laut dan kitaran hidrologi.

Bagi memperingati Hari Kajicuaca Sedunia pada tahun ini, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam telah mengadakan majlis sambutan di Garden's Veranda Hall, Rimba Garden Central. Tetamu Kehormat di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Turut hadir di majlis berkenaan ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara serta Yang Mulia Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan Yang Mulia Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abd Razak, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, pengarah-pengarah, ketua-ketua jabatan, dan pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta jemputan-jemputan khas, yang terdiri daripada wakil-wakil daripada kumpulan-kumpulan pengguna khidmat cuaca dan iklim.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis, Yang Mulia Awang Muhamad Husaini bin Aji, Pemangku Pengarah Kajicuaca. Bersempena dengan Hari Kajicuaca Sedunia 2019, Tetamu Kehormat telah merasmikan pelancaran "Sistem Panduan Banjir Kilat bagi Negara Brunei Darussalam (BFFGS)". Sistem berkenaan adalah satu alat panduan yang boleh membantu Pegawai-Pegawai Peramal di Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam bagi pengeluaran amaran banjir kilat secara "real time". Sistem ini juga mampu untuk mengeluarkan pelbagai informasi penting yang diperlukan sebagai panduan bagi mengukuhkan kapasiti pengeluaran amaran banjir kilat semasa berlakunya aktiviti hujan melalui penggunaan model pencerapan turun hujan dan hidrologi.

Dalam ucapannya Tetamu Kehormat Majlis juga menyentuh akan kepentingan perkhidmatan kajicuaca yang disediakan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dalam menyahut keperluan negara dan peranannya yang tetap relevan dalam mencapai aspirasi Smart Nation dan wawasan negara 2035.

Selepas pelancaran, Tetamu Kehormat dan para jemputan dipelawa untuk menyaksikan pameran yang mempamerkan maklumat pendidikan berkaitan dengan Sistem Panduan Banjir Kilat bagi Negara Brunei Darussalam (BFFGS). Maklumat mengenai perkhidmatan-perkhidmatan kajicuaca yang lain seperti Kod Amaran Cuaca Berwarna dan Sistem Indeks Bahaya Cuaca (WHIS) sebagai alat untuk bersiap-siaga menangani kejadian cuaca ekstrem, juga antara yang dipamerkan. Turut sama membuat pameran adalah agensi-agensi Kerajaan lain seperti Pusat Pengurusan Kebangsaan Bencana (NDMC), Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Jabatan Perhutanan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Jabatan Ukur, Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan graduan Universiti Brunei Darussalam (UBD) juga turut mengambil bahagian dalam pameran berkenaan. Pameran juga diikuti oleh syarikat-syarikat swasta seperti, RAB Global Green Sdn Bhd, Rennovo Solutions Sdh Bhd dan Rimba Garden Central (RGC) juga turut serta dalam mempamerkan produk-produk yang berkaitan dengan cuaca