News & Events

MAKLUMAN MENGENAI DENGAN PERKHIDMATAN PENGANGKUTAN DAN PERHUBUNGAN SEMASA KEADAAN CUACA PADA MASA INI

20 Dec 2017

20hb Disember 2017 - Keadaan cuaca pada masa ini dijangka akan berterusan akibat daripada ribut tropika Kai-Tak yang berada di Laut China Selatan. Keadaan cuaca ini juga menyebabkan hujan berterusan yang sekali sekala lebat dan angin kencang mencapai 45km sejam yang boleh menyebabkan banjir atau banjir kilat, pokok tumbang dan tanah susur serta laut bergelora dengan ketinggian ombak sehingga 4m.

Kemungkinan keadaan ini akan berterusan disebabkan oleh satu lagi lekukan tropika (tropical depression) yang dijangka berlaku pada 24hb Disember sehingga 26hb Disember 2017.

Orang ramai adalah dengan ini diingatkan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan memandangkan keadaan jalan raya yang licin dan air yang bertakong.

Jabatan Penerbangan Awam juga akan terus memantau perkembangan cuaca di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk memastikan keselamatan penerbangan awam dan membuat pembatalan penerbangan jika keadaan memerlukan. Orang ramai yang berhajat untuk membuat perjalanan ke luar negara adalah dinasihatkan untuk menghubungi maklumat penerbangan di talian 2331747.

Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan juga akan memantau laporan-laporan cuaca dan akan sentiasa memaklumkan kepada pelaut-pelaut, khususnya perahu-perahu tambang dan nelayan, melalui ‘Notice to Mariners’.

Penghantaran surat dan bungkusan mungkin akan terganggu terutama di kawasan-kawasan yang dilanda banjir.

Orang ramai adalah dinasihatkan untuk terus mengikuti perkembangan keadaan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, dari masa ke semasa melalui media massa, media sosial rasmi dan talian cuaca 114 (dari 5:30 pagi sehingga jam 12 tengah malam).

Nombor-nombor kecemasan
Ambulan: 991
Polis : 993
Bomba & Penyelamat: 995
Aduan & Pertanyaan : 123 (Talian Darussalam)